Langkah utama yang harus diambil ialah mengadakan
aktiviti gotong-royong. Melalui aktiviti gotong-royong, jiran dapat berkumpul
dan bekerjasama sambil berbincang tentang aktiviti yang akan dilakukan. Apabila
berkumpul dan berbincang, mereka akan dapat berkenal-kenalan antara satu dengan
yang lain yang sekali gus membolehkan seseorang itu mengenal hati budi jiran
mereka dengan lebih dekat. Hal ini dapat digambarkan melalui pepatah Melayu
yang mengatakan bahawa ´tak kenal maka tak cinta. Sebagai contoh, aktiviti yang
boleh diadakan secara bergotong-royong ialah membersihkan kawasan taman,
menyediakan hidangan untuk kenduri-kendara, dan sebagainya. Melalui cara ini, kita
dapat menjalinkan dan meningkatkan hubungan sesama jiran.
Selain itu, kita juga hendaklah mengadakan
majlis-majlis rumah terbuka semasa sesuatu sambutan perayaan. Amalan ini dapat
membentuk ikatan silaturahim dan memperkukuh semangat kejiranan dalam kalangan
jiran setempat. Melalui acara rumah terbuka, jiran dapat bertanya khabar dan
bercerita tentang pengalaman dengan lebih dekat. Seterusnya, melalui majlis
rumah terbuka ini, semua ahli dalam masyarakat berpeluang untuk berkumpul dan
berbincang sambil menikmati juadah yang disediakan oleh tuan rumah. Sebagai
contoh, semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Krismas,
Deepavali, dan sebagainya majlis-majlis rumah terbuka hendaklah dijadikan acara
tahunan. Tegasnya, majlis rumah terbuka mampu mendekatkan ahli masyarakat untuk
bertemu muka dan berkenalan dengan lebih erat lagi.
Di samping itu, kita juga hendaklah mengadakan
aktiviti Hari Keluarga untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan
masyarakat setempat. Semasa aktiviti ini diadakan, semua ahli keluarga jiran
akan turut serta untuk melibatkan diri dalam aktiviti seperti berkayak,
memasukkan air ke dalam botol, terompah gajah, dan sebagainya. Apabila aktiviti
Hari Keluarga diadakan, kemesraan akan terjalin bukan sahaja antara ibu dengan bapa,
malah anak-anak juga. Jadi, melalui aktiviti ini, hubungan yang erat sesama
jiran dapat dibentuk yang secara tidak langsung akan menimbulkan perasaan ingin
membantu antara satu dengan yang lain seperti yang terungkap dalam peribahasa
Melayu ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni.
Bukan itu sahaja, kita juga harus menggalakkan rakyat
supaya melibatkan diri dalam aktiviti sosial seperti persatuan atau pertubuhan.
Penduduk setempat mestilah membentuk satu persatuan yang mempunyai satu sistem
organisasi yang teratur. Persatuan atau pertubuhan ini hendaklah melibatkan
semua penduduk sebagai ahli. Dewasa ini, banyak pertubuhan sukarela ditubuhkan
dalam masyarakat seperti Pertubuhan Rukun Tetangga, Jawatankuasa Keselamatan
dan Kemajuan Kampung, Pertubuhan Khairat Kematian, dan sebagainya. Sebagai
contoh, melalui Pertubuhan RukunTetangga, masyarakat setempat secara
bergilir-gilir mengawasi keselamatan taman untuk mengelakkan kejadian-kejadian
yang tidak diingini berlaku. Hal ini dapat kita lihat dalam peribahasa Melayu,
iaitu ibarat aur dengan tebing yang mementingkan semangat sandar-menyandar atau
saling membantu dalam kehidupan.
Dalam era globalisasi ini, sikap mementingkan diri
sendiri dan sikap tidak mempedulikan orang lain semakin menebal seperti yang
terkandung dalam pepatah Melayu ´bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk
masing-masingĀµ. Jika hal ini dibiarkan, semangat kejiranan akan luntur dan
seterusnya akan menjejaskan perpaduan negara. Ada pepatah yang mengatakan
bahawa ´bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Oleh itu, dengan meningkatkan
semangat kejiranan, perpaduan akan bertambah utuh dan teguh. Jadi, dalam setiap
masa, kita mestilah sentiasa berusaha untuk memastikan semangat kejiranan
sentiasa terpelihara supaya negara kita sentiasa aman, harmoni dan
sejahtera .
No comments:
Post a Comment